Haji
Mengerjakan haji (
Bahasa Arab:
حج
Ḥajj "
ziarah") merupakan salah satu daripada
Rukun Islam yang lima. Setiap orang Islam yang mempunyai kemampuan, diwajibkan mengerjakan haji ke
Makkah sekali seumur hidup. Firman Allah Taala :
(ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين)
Ertinya: "Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang
mukmin) pergi mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang
mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah
bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun)
daripada pihak lain (alam)."
Pengertian Haji dan Umrah pada syarak
- Islam: Orang kafir tidak wajib mengerjakan Haji malah tidak sah ibadat Haji yang mereka kerjakan.
- Merdeka: Hamba tidak wajib mengerjakan Haji.
- Mukallaf.
- Berkemampuan dengan syarat:
- Berkuasa membayar segala perbelanjaan bagi mengerjakan ibadat Haji sehingga selesai dan kembali ke tanah air.
- Ada kenderaan pergi dan balik.
- Disyaratkan mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya.
- Tidak mengalami kesulitan teruk semasa berada di dalam kenderaan.
- Aman perjalanan.
Manakala bagi perempuan pula ditambah: Terdapat kawan perempuan berserta wanita Islam yang boleh dipercayai.
Jenis-jenis Haji
Ibadat Haji terbahagi kepada beberapa jenis seperti yang dipersetujui oleh ulamak, iaitu:-
- Haji Tamattuk
- Haji Qiran
- Haji Ifrad
- Umrah
Rukun Haji
- Ihram, berniat bulat mengerjakan ibadah haji. Ibadah ini dimulai sesampai miqat (batas-batas yang telah ditetapkan).
- Wukuf
di Arafah, ialah berhenti di padang Arafah sejak tergelincirnya
matahari tanggal 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Dzulhijah.
- Tawaf
Ifadhah, ialah mengelilingi ka'bah sebanyak 7 kali, syaratnya : Suci,
menutup aurat, Ka'bah berada disebelah kiri orang yang mengelilingi,
memulai tawaf dari arah Hajar Aswat.
- Sa'i, ialah lari-lari kecil atau jalan cepat antara bukit Shafa dan Marwah.
- Mencukur/menggunting rambut. Sedikitnya memotong tiga helai rambut.
- Tertib, ialah menjalankan rukun haji secara berurutan.
Dam Haji
Pengertian dam dari segi bahasa ialah
darah. Ia merupakan ibadah gantian yang berbentuk binatang ternakan yang disembelih atau digantikan dengan makanan atau puasa.
Sebab-sebab diwajibkan dam:
- Melanggar pantang larang dalam Ihram
- Meninggalkan perkara-perkara yang wajib dalam ibadat haji atau umrah
- Mengerjakan Haji Tamattu' atau Haji Qiran, menurut syarat-syaratnya
- Berlaku Ihsar bagi orang yang berniat ihram
- Melanggar Nazar semasa mengerjakan haji
- Luput Wuquf di Arafah
- Meninggalkan Tawaf Wada'
Dam yang dikenakan ialah menyembelih binatang ternakan seperti seekor
kibasy, kambing atau satu pertujuh daripada lembu, unta atau kerbau.
Jika tidak berkuasa, dikehendaki berpuasa selama 3 hari pada bulan haji
& 7 hari apabila ia balik ke tempatnya.
Haji Mabrur
Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Ibn Kholawaih mentakrifkan
alMabrur sebagai alMaqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan
sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan oleh Imam
Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa)
Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari,
Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ”Kelebihan Haji
Mabrur”. Manakala, Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang
diterima di dalam bab “Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan”.
Cara mencapai haji mabrur
Secara umumnya, untuk mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;
- 1: Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (menunjuk-menunjuk).
Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith diatas dengan berkata “mabrur
(diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang
tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak ria’ pada
hajinya”
Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan
tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu
menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah
Di dalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith:
“Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera,
satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia
keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama
bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke
rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan
kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan
bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya”
- 2: Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang
baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang
diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat
alQuran
“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal)
dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah
alMukminun : 51]”
Kemudian Rasulullah membacakan lagi :
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang
baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]
Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit
seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram,
minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia
boleh diterima??”
Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji
meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan,
perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.
- 3: Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda
Rasulullah didalam sunnahnya. Sebagai seorang muslim yang sejati, kita
wajar meneladani Baginda tanpa menambah-nambah ibadat yang tidak pernah
dilakukan Baginda.
Ini sesuai dengan sabda Baginda;
“Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)”
Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau
menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi
tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam
mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan
sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan
(kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi
makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal
setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf,
kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan
berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”
- 4: Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya
Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul
aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu
memberi faedah dan mudarah, kalau bukanlah kerana Rasulullah
mengucupnya, sudah aku aku tidak aku mengucupnya”
Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang
ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal
semata-mata.
- 5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji:
Ini sesuai dengan hadith :
“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan
haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku
perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji
untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan
membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga
(hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan
(hutangnya)”.
Didalam hadith yang lain:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya
menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir
(ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda
Rasulullah : Ya”
Bumi Makkah
Menurut riwayatnya, ramai para sahabat menyatakan, bahawa bumi Makkah
adalah yang pertama sekali muncul dari air selepas penciptaannya dan
daripadanya bumi- bumi lain terbentang dan terhampar. Keistimewaan yang
terdapat di Makkah ialah Masjidil Haram.
Keistimewaan Masjidil Haram pula ialah kerana Kaabah atau Baitullah, yang menjadi kiblat bagi umat Islam.
Baitullah adalah sebuah bangunan yang hampir-hampir empat persegi.
Tingginya 15 meter dan luasnya lebih kurang 120 meter persegi. Bangunan
ini terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Di salah satu penjuru
Kaabah ini terdapat Hajarul Aswad yang menjadi tempat permulaan untuk
mengerjakan tawaf.
Makam Ibrahim
Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau
pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan
kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di
dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah
dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi
Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi
Ismail memberikan batu kepadanya.
Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak.
Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm,
lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.
Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam
Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk
sangkar burung.
Hajarul Aswad
Rencana utama: Hajar Aswad
Menurut sejarahnya, Hajar Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke
atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari
salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang -
orang musyrik.
Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi
antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu
'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya,
Rasulullah s.a.w bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan
berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam )
menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Turmizi
Telaga Zam Zam
Telaga Zam-Zam
adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang
tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail
dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah.
Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi
Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu
Nabi Ismail).
Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut
sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail
dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya
baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke
Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan
lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.
Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok
yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak
berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan
sekantong kurma dan sekibah air.
Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?" "Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? "
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.
Siti Hajar bertanya lagi;
"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".
Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan
hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat
yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan
waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.
Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti
Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan
Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika
sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang
mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya,
bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan
derasnya. Air itu adalah air zam-zam.
Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril
mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah )
dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti.
Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".
Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh
menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut
yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong
hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah
s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia
merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ".
Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.
Umrah
Umrah (
ﻋﻤﺮﻩ) ialah mengunjungi Baitullah di
Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa'i dan bertahallul mengikut tertib.
Umrah adalah fardhu seperti Haji. Ini adalah pendapat al-Imam
as-Syafie r.a. yang al-Azhar. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib
dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang
yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.
Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Taala:
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah (Al-Baqarah 196).
Sabda Nabi yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:
Aku berkata : "Wahai Rasullah,apakah wanita wajib berjihad?".
Sabda Baginda: "Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan
umrah".
Niat
Ihram,
Tawaf dan
Sa'i tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain melainkan di tempat yang ditetapkan. Iaitu niat ihram di
Miqat, tawaf 7 pusingan mengelilingi
Kaabah di dalam
Masjidil Haram dan bersa'i 7 kali bermula di bukit
Safa dan berakhir di bukit
Marwah.
Terakhir sekali bertahallul iaitu bercukur atau mengunting rambut
sekurang-kurangnya 3 helai selepas itu, segala larangan dalam Ihram
menjadi halal sepertimana sebelum beliau berihram.
Beza Umrah dengan
Haji ialah Umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada bulan
haji iaitu bulan
Zulhijjah sahaja, dan hari kemuncaknya ialah pada hari Tasyrik 9,10,11,12 dimana jemaah berkumpul di Padang
Arafah dan
Mina.
Pada zaman sekarang Kerajaan Arab Saudi menetapkan mana jemaah umrah
mestilah mengikut muassasah umrah dan memohon visa umrah melalui agensi
umrah. Tiada lagi permohonan Visa umrah dapat dilakukan di Kedutaan Arab
Saudi secara individu.